Putrajaya, 4 November – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi penekanan kepada empat fokus utama seperti mana digariskan oleh Kementerian Kewangan menerusi Bajet 2021 iaitu memperkukuh kesejahteraan rakyat,
memacu pertumbuhan ekonomi, mengupaya kehidupan lestari dan
memperkasa penyampaian perkhidmatan. Sehubungan itu, KPPK mensasarkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan melalui inisiatif yang bakal dilaksanakan.

Antara lain, inisiatif utama yang dicadangkan oleh KPPK adalah
memperkenalkan semula skim Geran Tanam Semula Pekebun Kecil
Sawit (TSPKS-G).

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali, skim tersebut jika diluluskan akan dihadkan kepada pekebun kecil dalam kalangan B40 dengan saiz pemilikan tanah di bawah 3.5 hektar. Dengan pemberian geran TSPKS-G, pendapatan pekebun kecil persendirian dijangka meningkat dengan hasil pengeluaran lebih tinggi menggunakan anak benih berkualiti untuk menggantikan pokok sawit berumur melebihi 25 tahun yang tidak lagi produktif.

Bagi meneruskan kesinambungan jaminan bekalan bahan mentah
kepada sektor perkayuan, KPPK turut mencadangkan agar Dana
Pusingan (Revolving Fund) bagi Program Pinjaman Pembangunan
Ladang Hutan (PPLH) diperkenalkan. Pendekatan baru ini adalah
merupakan penambahbaikan kepada PPLH yang telah dilaksanakan di
negara ini sejak 2007. Melalui pemberian dana pusingan, bekalan bahan mentah untuk masa hadapan sektor perkayuan adalah terjamin. Ia penting agar sumbangan kepada pendapatan ekport negara daripada sektor ini iaitu antara RM22 bilion hingga RM23 bilion setiap tahun dapat dikekalkan atau ditingkatkan.

Selain itu, atas dasar keprihatinan pihak kerajaan terhadap pekebun kecil getah atas cabaran yang dihadapi, KPPK juga telah mengemukakan cadangan
Inisiatif Pembangunan Koridor Lateks Wilayah Timur di Pahang,
Terengganu dan Kelantan bagi meningkatkan pengeluaran lateks negara. Inisiatif ini dipercayai dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui harga premium yang bakal dinikmati berbanding harga getah cumplump.

Menurut Menteri lagi, beliau berharap agar skim penstabilan pendapatan pekebun kecil menerusi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dapat diteruskan. KPPK turut mengesyorkan pembangunan secara agresif bagi industri coklat negara melalui penubuhan Hab Coklat di Langkawi dan Pusat Perdagangan Koko di tiga pelabuhan utama di Malaysia.

“Kementerian berharap Belanjawan 2021 dapat dizahirkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran industri agrokomoditi yang merupakan teras kepada pembangunan ekonomi negara” ujar Menteri menerusi Kenyataan Media hari ini.