Parlimen Kuala Lumpur, 5hb. November – Tindakan Amerika Syarikat yang memboikot produk sawit keluaran Felda Global Ventures (FGV) tidak memberi kesan terhadap import produk sawit Malaysia.

Dalam menjawab soalan yang diajukan oleh ADUN Jelebu, Dato’ Haji Jalaluddin bin Haji Alias berkenaan isu tersebut, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali, menegaskan bahawa eksport produk sawit Malaysia ke Amerika Syarikat
tidak menghadapi sebarang masalah kecuali sekatan dagangan yang
dikenakan ke atas produk sawit negara keluaran Syarikat FGV bermula 1 Oktober 2020. Oleh itu, sekatan produk sawit Malaysia yang dikenakan Amerika Syarikat ini tidak memberi kesan signifikan kepada sektor tersebut buat masa ini.

Tambahnya lagi, FGV hanya mengeksport 40 tan bersamaan dengan 0.0013% daripada 3 juta tan keseluruhan jumlah eksport FGV sahaja minyak sawit ke Amerika Syarikat. Manakala eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat antara Mei hingga September 2020 adalah sebanyak 292,940 tan dan 292,011 tan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Dalam soal Mesyuarat Ketiga, Penggal ketiga, Parlimen 14, Menteri, Dato’ Khairuddin turut menjawab persoalan yang diajukan oleh YB Pulai berkenaan sejauh mana kebenaran dakwaan U.S Custom Border Protection (CBP) berkaitan FGV menggunakan tenaga buruh paksa.

Menurut beliau, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (U.S.Customs & Border Protection – CBP) telah mengeluarkan Withhold Release Order (WRO) bagi mengenakan sekatan terhadap import minyak sawit dan produknya dari FGV pada 30 September 2020.

Sekatan dikeluarkan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh beberapa buah badan bukan Kerajaan (NGO) kepada pihak CBP berkaitan
penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk sawit
syarikat FGV. Namun, kesahihan dakwaan tersebut masih belum dapat
disahkan.

Kerajaan komited dalam membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan
kekurangan tenaga kerja asing melalui pelonggaran syarat bagi
Permohonan Pertukaran Majikan (PTM).

Antara pelonggaran syarat tersebut adalah majikan-majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Dalam pada itu, Menteri turut menyatakan bahawa isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di ladang-ladang sawit bukan isu baharu. Bahkan Sektor Sawit Malaysia telah disenaraikan oleh United States Department of Labor (US DOL) sebagai sektor yang menghasilkan barangan menggunakan buruh paksa dalam senarai tahunannya bertajuk
The Department of Labor’s List of Goods Produced by Child Labor or
Forced Labor seperti yang diperuntukkan di bawah the Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA) bermula pada tahun 2009. Pada
tahun 2014, sektor sawit Malaysia bukan sahaja disenaraikan sebagai
sektor yang menggunakan buruh paksa tetapi juga buruh kanak-kanak diladang-ladang sawit dan penyenaraian tersebut kekal sehingga kini.

Undang-undang Malaysia jelas tidak membenarkan sebarang
bentuk penyeksaan, penindasan, keganasan fizikal dan seksual terhadap mana-mana pekerja di semua sektor di Malaysia. Bagi menangani isu-isu tersebut, antara kaedah yang telah dilakukan oleh sebahagian besar syarikat perladangan sawit bagi mengelakkan majikan menyimpan pasport pekerja adalah dengan menyediakan tempat khas penyimpanan pasport yang mana pekerja berhak
untuk mengambil pasport tersebut pada bila-bila masa.

Selain itu juga, isu-isu teknikal (seperti tindakan majikan menyimpan pasport, pekerja membawa bersama anak ke ladang kerana tiada penjaga di rumah) perlu diperjelaskan kepada pihak syarikat yang mana ia adalah termasuk dalam salah satu elemen buruh paksa yang mungkin tidak disedari oleh pihak syarikat sendiri. Kementerian melalui MPOB akan terus giat mengadakan program-program advokasi kepada pihak industri untuk menjelaskan perkara sebegini.

Kementerian memberi perhatian serius isu ini. FGV merupakan
antara pemain industri sawit Malaysia yang utama yang melibatkan hampir 100,000 orang peneroka Felda di seluruh negara dengan keluasan tanaman sawit berjumlah 432,721hektar. Oleh demikian, Kementerian mengalu-alukan langkah yang telah dibuat oleh FGV untuk menyelesaikan segera isu ini dengan pihak CBP Amerika Syarikat.

Syarikat telah mengadakan sidang mesyuarat secara maya pada
bulan Oktober 2020 dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi
mendapat penjelasan berhubung sekatan import tersebut dan pihak CBP dilihat positif dalam menyelesaikan isu ini dan
akan mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen membatalkan
Perintah Tahanan Pelepasan atau WRO.

Petisyen ini perlu disertakan
dengan laporan audit daripada firma pengauditan pihak ketiga yang boleh
dipercayai dan adil. Oleh demikian, FGV akan melantik juruaudit bebas
dalam masa terdekat. Pada masa yang sama, pejabat MPOB di Amerika
Syarikat turut berhubung dengan pihak berkuasa di sana untuk menyusuli perkara ini.