KUALA LUMPUR –Tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas buat mahasiswa. Itu antara beberapa keluhan mahasiswa terhadap Belanjawan 2021. Ini kerana tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas buat mahasiswa daripada keseluruhan peruntukan RM14.4 billion yang diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata menzahirkan rasa kecewa atas ketidakpedulian Kementerian Kewangan terhadap golongan mahasiswa dalam Belanjawan 2021

Menurut beliau, dalam suasana sukar mahasiswa berhadapan wabak Covid-19, kerajaan wajar menimbang untuk menyediakan bantuan one-off bernilai RM300 melalui Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT-Kad Siswa) yang dihentikan pada 2020.

Berdasarkan rekod lalu, peruntukan bantuan BPPT telah dikurangkan dengan suatu jumlah yang sangat besar iaitu sebanyak RM300 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020 dan 2021.

”PKPIM turut mempersoalkan pengurangan peruntukan Biasiswa Pendidikan Tinggi dalam belanjawan kali ini daripada RM170,000,000 pada 2020 kepada RM161,500,000 pada 2021.

”Ini bakal menimbulkan keresahan dan kesulitan mahasiswa yang genting dalam situasi ekonomi yang tidak menentu kini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, PKPIM mengharapkan agar belanjawan ini disemak semula bagi memastikan hak, keperluan dan kebajikan mahasiswa tidak dipinggirkan dalam keadaan majoriti daripada golongan ini berhadapan dengan masalah ekonomi yang sangat meruncingkan.