PUTRAJAYA, 9 Nov – Harga minyak sawit mentah (MSM) telah meningkat kepada RM3,429.50 satu tan pada Jumaat lalu, harga ini merupakan yang tertinggi  pernah dicatatkan sejak Mei 2012.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memaklumkan, harga komoditi itu telah menunjukan peningkatan harga melebihi RM3,200 satu tan sejak dari  minggu yang lalu iaitu bermula RM3,209.50 pada 2 November sehingga RM3,357 pada 5 November.

Peningkatan harga tersebut disebabkan  oleh faktor permintaan MSMyang tinggi diperingkat global iaitu daripada pembeli utama, India dan China.

MPOB berkata, permintaan MSM dari China juga dijangka akan terus meningkat menjelang Festival Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) dan Minggu Keemasan (Golden Week) yang telah bermula bulan lepas.

Menurut MPOB, pengukuhan harga minyak kacang soya (SBO) di US Chicago Board of Trade (CBOT) dan di China’s Dalian Commodity Exchange membantu menaikan harga MSM.

Harga MSM juga dipengaruhi oleh pergerakan harga minyak kacang soya kerana kedua-duanya bersaing di dalam pasaran minyak sayuran global.

Peningkatan harga ini bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah ia turut memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri Sawit di Malaysia dimana dapat membantu rakyat yang sedang bergelut dengan sumber kewangan akibat daripada pandemik COVID-19.