KUALA LUMPUR, 11 Nov – Datuk Seri Najib Razak hari ini menolak mengenai dakwaan bahawa dirinya mengambil langkah populis dengan mendesak kerajaan untuk meluluskan pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, cadangan itu bukanlah sebuah langkah populis tetapi ia merupakan sebuah strategi ekonomi bagi merancakkan ekonomi negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi daripada wabak Covid-19.

Menurut beliau, gesaan itu supaya kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara menyeluruh kepada rakyat yang masih berdepan dengan kesan akibat pandemik COVID-19.

“Ada yang tuduh cadangan KWSP RM10,000 dan lanjutan moratorium pinjam cuma sekadar permainan populis saya supaya saya nampak macam hero.

“Soalan: Jika bajet 2019 sebanyak RM314.5 bilion tidak dapat selamatkan ekonomi pada tahun tiada krisis Covid, bagaimana pula bajet 2021 sebanyak RM322.5 bilion (RM8 bilion atau cuma 2.5 peratus lebih tinggi) mampu menyelamatkan negara semasa krisis Covid melanda seluruh negara dan dunia?

“Langkah pengeluaran KWSP RM10,000 dan lanjutan moratorium adalah langkah untuk menambah dana ke dalam kitaran ekonomi kita demi merancakkan ekonomi ktia tanpa memberi impak kepada saiz bajet dan defisit negara disamping memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang paling terdesak,” ujar beliau dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan baru-baru ini dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) akan terus menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) membenarkan pengeluaran wang berjumlah RM10,000 dai Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.