KUALA LUMPUR, 12 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempertahankan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dianggap telah melakukan yang terbaik dalam menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Menurut beliau, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merupakan individu yang penting dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Beliau berkata, Dr Noor Hisham perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara.

Dr Zulkifli melalui hantaran Facebooknya, mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang menyatakan  Dr Noor Hisham ‘takut mati’ pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, semalam.

King Sing dilaporkan mendakwa Dr Noor Hisham tidak turun padang dan melihat keadaan kes COVID-19 dan bertemu kakitangan kementerian di Sabah.