KUALA LUMPUR, 12 Nov – Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali  mengecam pihak yang mempertikaikan kredibiliti dan komitmen Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam usahanya menangani penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Dr Noor Azmi berkata, beliau bukan sahaja menyokong Dr Noor Hisham kerana beliau tahu bagaimana Ketua Pengarah Kesihatan itu bekerja, menjalankan tanggungjawab dan amanahnya setiap hari untuk memastikan wabak maut itu dapat dihapuskan di negara ini.

Menurut beliau, Dr Noor Hisham antara individu paling komited dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat Malaysia terjaga sejak wabak Covid-19 menular pada Februari lalu.

Beliau berkata, Dr Noor Hisham telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak Covid-19 melanda sahaja.

“Saya terkejut apabila ada individu tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik tergamak mempertikaikan kredibiliti serta pengorbanan beliau dalam membanteras wabak Covid-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada ‘frontliners’ (barisan hadapan), Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang berperang dengan virus Covid-19 selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Kami di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham setiap hari akan bermesyuarat, berbincang dan bertukar idea seawal jam 8 pagi sehingga lewat petang mencari penyelesaian membanteras penularan Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga.

 “Tindakan pihak tertentu mempertikaikan amanah yang telah dilaksanakan oleh beliau adalah tidak bertanggungjawab serta tak masuk akal,” ujar beliau.