Kuala Lumpur, 12 Nov – Sebanyak RM149 juta telah diperuntukan Kementerian Perusahaan Perladangan Komoditi bagi membiayai tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tuntutan IPG akan meningkat pada tahun hadapan sehingga mencecah 15 peratus berikutan pelaksanaan RRIMniaga bermula 1 Januari 2021.

IPG merupakan kaedah sokongan harga ladang dengan paras harga pengaktifan (PHP) RM2.50 sekilogram getah sekerap atau RM6.10 sekilogram getah SMR 20.

“Sistem RRIMNiaga ini akan memudahkan pekebun kecil apabila mereka tidak perlu menuntut IPG secara manual dengan mengisi borang dan menghantarnya ke pejabat Lembaga Getah (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Sebaliknya, IPG akan disalurkan terus pada bulan berikutnya ke dalam akaun pekebun kecil yang layak menerimanya,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Kementerian telah memperkenalkan aplikasi RRIMniaga dan mewajibkan kesemua peruncit, pembeli dan peraih getah berlesen menggunakannya bagi memudahkan urus niaga getah. Kesemua rekod transaksi jual beli getah akan dilaporkan kepada Lembaga Getah Malaysia. Kegagalan menggunakan aplikasi RRIMniaga akan menyebabkan lesen pembeli getah akan ditarik balik.