KOTA BHARU, 13 Nov – Kesemua Ahli Parlimen Parti Amanah Negara sebulat suara tidak menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan pada 6 November yang lepas.

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu berkata, keputusan itu sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Itu kita bercakap dalam Parlimen, Ketua Pembangkang sudah cakap kalau hendak sokong mesti dipinda beberapa perkara.

“Kita, parti Pejuang pun bercakap, UMNO pun bercakap juga beberapa perkara perlu dipinda untuk dapat sokongan, kita bersama PH (tidak sokong),” ujar beliau ketika ditemui hari ini.

Menurut beliau, Belanjawan 2021 itu tidak menepati beberapa tuntutan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan.