SHAH ALAM, 13 Nov – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar hari ini meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk memberi tunjuk ajar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimana untuk membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan kerana ketidaktentuan ekonomi.

Tan Sri Noh Omar berkata, usaha Annuar yang prihatin dengan nasib peniaga kecil wajar diberikan perhatian dan penghargaan.

“Saya sentiasa membela nasib peniaga-peniaga kecil yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang terutamanya di waktu pandemik Covid-19 ini. Terima kasih Menteri Wilayah yang prihatin dan senada dengan perjuangan saya.

“Eloklah Menteri Wilayah ‘sekolahkan’ Menteri Besar Selangor bagaimana untuk membela nasib rakyat yang sedang susah sekarang. Bukannya cuba menakutkan rakyat dengan macam-macam notis daripada pihak berkuasa.

“Ini baru saya cakap pasal masalah peniaga belum saya sebut tentang kepayahan rakyat dengan kegagalan menyelesaikan masalah air,” ujar beliau melalui satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.