PUTRAJAYA, 16 Nov-  Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meminta Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh untuk membuat laporan polis mengenai dakwaan ada ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) cuba mengaut keuntungan dari program Wilayah Bebas Berniaga.

Melalui ciapan di laman Twitter milik beliau, Annuar berkata, beliau mengambil serius terhadap tuduhan dari Ahli Parlimen Segambut itu.

“Saya minta YB Segambut segera buat laporan polis bagi membuktikan beliau tidak berbohong.

“Sekiranya tidak berbuat demikian, beliau dianggap melakukan kesalahan kerana menyembunyikan maklumat mengenai orang yang melakukan kesalahan,” ujar beliau.

Hannah menerusi hantaran di Facebooknya semalam mendakwa ada pihak yang cuba mengutip bayaran daripada mereka yang ingin memohon lesen itu.

Ujar beliau, beberapa peniaga kecil telah mengadu terdapat NGO, ahli politik yang sedang giat mengutip wang sebagai yuran ejen untuk membenarkan mereka membuka gerai.