Industri perladangan sawit tulang belakang sektor pertanian Malaysia. Hari ini, Malaysia negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, di belakang Indonesia dengan purata pengeluaran 19 juta tan setahun.

Minyak Sawit Malaysia (MSM) menguasai 26 peratus pasaran minyak sawit dunia dan industri sawit antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada 2018 sahaja, industri ini menyumbang RM38 bilion atau 2.8 peratus kepada KDNK. Nilai eksport sawit Malaysia pada 2019 sejumlah RM67.52 bilion atau 39 peratus daripada nilai agrikomoditi negara.

Menurut laporan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), KDNK akan menyusut 18.5 peratus untuk suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama 2019. Bagaimanapun, dengan kenaikan harga minyak sawit mentah ke paras RM2,900 dan ke atas, diharapkan industri ini sekali lagi menjadi penampan kepada penyusutan KDNK.

Dijangkakan pada akhir tahun ini, KDNK akan hanya mengalami penurunan 3.5 hingga 5.5 peratus.

Diimbas kembali, harga purata MSM pada RM2,079 per tan untuk 2019 tidak begitu memberangsangkan. Ada ketikanya harga ini jatuh di bawah RM2,000 dan memberikan kesan tidak sihat kepada sektor perladangan swasta, sosioekonomi, terutama 640,000 pekebun kecil.

Dengan harga purata Buah Tandan Segar (BTS) sekitar RM300 hingga RM350 per tan menyebabkan penduduk yang bergantung hidup kepada komoditi itu terjejas teruk. Sedangkan jika diambil kira upah menuai, pengangkutan dan kos pemeliharaan serta pembajaan melebihi RM300 bagi setiap tan BTS.

Walaupun harga ini pulih pada Januari mencecah RM3,100 ia tidak bertahan dan kembali menyusut ke paras sekitar RM2,200 pada Mac dan April lalu.

Tidak dinafikan, turun naik harga komoditi dunia banyak dipengaruhi permintaan dan penawaran, tetapi langkah baharu serta inisiatif diambil Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk meningkatkan permintaan MSM mula menampakkan hasil.

Harga minyak sawit dunia mula menaik ke paras RM2,412 pada Jun dan seterusnya melonjak melebihi RM3,200 pada minggu ini. Harga purata MSM pada Oktober meningkat 42 peratus kepada RM2,980 berbanding RM2,140 pada Oktober 2019.

Walaupun eksport MSM sedikit berkurang untuk tempoh Januari hingga Jun iaitu sekitar 9.57 juta tan berbanding 10.88 juta tan untuk 2019, nilai eksport meningkat 6 peratus kepada RM22.7 bilion untuk tempoh sama.

Oleh itu, dijangkakan nilai eksport MSM untuk tahun ini akan berada jauh di atas berbanding 2019.

India pembeli utama MSM diikuti China dan Pakistan. Strategi lonjakan ekonomi melalui diplomasi yang dipraktikkan kepemimpinan tertinggi di kementerian berjaya menarik minat India untuk kembali membeli minyak sawit Malaysia, sementara China meningkatkan kuantiti pembelian MSM.

Penghapusan cukai eksport terhadap MSM, selain minyak inti sawit sama ada mentah atau proses di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diperkenalkan Kerajaan Pusat antara 1 Julai hingga 31 Disember ini juga, turut merancakkan aktiviti penjualan MSM ke luar negara.

Langkah kerajaan mempromosikan ‘a-tocotrienol’ iaitu vitamin E semula jadi dihasilkan daripada ekstrak minyak kelapa sawit adalah langkah bijak. Ia memberi kepelbagaian kegunaan produk sawit, terutama dalam bidang penjagaan kesihatan, di samping memberikan kesan kepada bertambahnya permintaan terhadap minyak sawit.

Tocotrienol adalah antioksidan yang baik di mana ia mengandungi unsur perlindungan neuro yang tidak terdapat pada bahan sumber semula jadi vitamin E lain. Sebab itulah tocotrienol dianggap bahan terbaik untuk pencegahan strok dan penjagaan kesihatan.

Usaha gigih Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam mengangkat martabat industri sawit negara tidak boleh dipandang ringan.

Sehingga 5 November lalu, sejumlah 99.8 peratus syarikat perladangan menjalani dan menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain 98.54 peratus pekebun kecil terancang, 30.17 peratus pekebun kecil persendirian dan 94.25 peratus daripada kilang pemprosesan.

Meningkatkan permintaan MSM melalui penerokaan pasaran baharu ke Asia Barat, utara Afrika dan negara Eropah Timur termasuk Balkan usaha baik yang dilakukan kerajaan dalam menstabilkan harga MSM pada kedudukan selesa buat pengusaha besar swasta dan pekebun kecil.

Selain itu, kenaikan harga sawit juga dipengaruhi tingginya harga komoditi minyak kacang soya (SBD) di pasaran dunia.

Data untuk Oktober sahaja menunjukkan harga SBD lebih tinggi berbanding CPO sebanyak AS$137 hingga AS$209 untuk setiap tan minyak.

Kejayaan dan usaha dilakukan kerajaan dalam meningkatkan harga sawit melebihi RM2,600 setiap tan MSM, pastinya memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia, terutama peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), selain syarikat perladangan swasta dan lembaga yang terbabit dengan industri sawit.

Antaranya seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan lain-lain agensi.

Bagi masyarakat luar bandar yang bergantung hidup kepada hasil usaha sawit, pastinya harga BTS di atas RM600 per tan amatlah melegakan berbanding RM370 pada Mac 2019.

Inilah nikmat anugerah Tuhan yang patut disyukuri setiap rakyat Malaysia. Sudah pasti bumi Sarawak yang mempunyai jumlah keluasan sawit terbesar di Malaysia, termasuk bilangan pekebun kecilnya akan turut merasakan aliran nikmat anugerah Tuhan, begitu juga dengan Sabah.

Syarikat perladangan swasta sudah pasti akan mencatat keuntungan tinggi tahun ini, secara tidak langsung meningkatkan pendapatan negara melalui cukai.

Bagi pekebun kecil berjumlah 640,000 orang serta peneroka FELDA yang berjumlah 112,000 orang pula, sudah pastinya akan merancakkan kegiatan ekonomi beberapa daerah seperti Bahau dan Gemas di Negeri Sembilan; Keratong, Bandar Muadzam dan Jengka di Pahang; Segamat, Kulai dan Bandar Tenggara di Johor serta lain-lainnya di Kelantan, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Inilah anugerah Tuhan buat rakyat Malaysia merentas kaum, budaya dan agama yang semestinya disambut dengan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan yang memerintah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali