KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) hari ini telah mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.

Beliau berkata, Pihak KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua
lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform. Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan.

“Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan. Ia dizahirkan melalui pengenalan Logo Rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik.

“Moto ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari
aspek halalan-thoyyiban. Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini,” ujar beliau dalam sidang media “Majlis Pra-Pelancaran Kempen Sawit Anugerah Tuhan” di Parlimen hari ini

Sempena pra-pelancaran kempen hari ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada
semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu.