Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairudin Aman Razali melahirkan harapan dan keyakinan dengan pembangunan industri pati minyak gaharu di negara ini. Industri gaharu berpotensi dikembangkan di peringkat hiliran kerana belum ramai usahawan yang terbabit dalam sektor ini terutamanya dalam pembuatan minyak wangi.

Beliau berkata industri tersebut mempunyai potensi yang tinggi kerana tidak ramai pemain industri menceburi sektor ini walaupun Asia Tenggara terkenal dengan penghasilan minyak pati gaharu dalam penghasilan minyak wangi di Timur Tengah.

Tambahnya sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.

Menurut beliau, jumlah pengeksport serta pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat bahkan sebanyak 22 syarikat dan individu adalah pengilang PMG. Manakala tambahnya lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia.

“MTIB mempunyai satu unit khusus bagi melatih mana-mana pihak yang berminat dalam pemprosesan gaharu dan usahawan juga boleh dilatih untuk menghasilkan minyak wangi,” katanya.