PUTRAJAYA, 17 Dis – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius terhadap pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) melibatkan kemudahan kediaman bagi pekerja asing oleh beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot yang didapati tidak mematuhi peraturan seperti ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menteri Perusahaan  Perladangan dan Komoditi Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh pihak majikan.

Beliau berkata, pematuhan terhadap akta berkenaan juga adalah amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi bertujuan memberi keyakinan kepada pihak antarabangsa bahawa Kerajaan Malaysia adalah serius dalam usaha menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini.

“Dalam hal ini, KPPK ingin memberi peringatan kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor perladangan dan industri komoditi agar sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa dititikberatkan,” juar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik.