Langkawi – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato Dr. Khairuddin Aman Razali menggalakan perusahaan lateks dipertingkatkan di seluruh negara. Beliau menyatakan bahawa industri lateks mampu untuk meningkatkan sumber pendapatan penoreh kerana permintaan yang tinggi dalam sektor pembuatan sarung tangan getah perubatan.

“Kementerian melalui Belanjawan 2021 akan melaksanakan Projek Koridor Lateks Pantai Timur (KLPT) di tiga buah negeri (Kelantan, Terengganu dan Pahang) sebagai projek rintis dalam memacu pengeluaran lateks bagi negara dalam memenuhi permintaan yang tinggi di dunia” ujar beliau.

Kini, Malaysia hanya membekalkan 5 peratus pengeluaran lateks dan selebihnya diimport daripada Thailand.
Beliau turut menyatakan inisiatif kementerian untuk memberikan geran sebanyak RM 300,000 bagi membeli mesin memproses getah krip kepada koperasi penoreh getah yang berdaftar. “Getah krip yang dihasilkan akan dibeli oleh Perbadanan Lembaga Getah Malaysia (LGMPC) dengan harga yang tinggi berbanding getah sekerap dan kemudianya akan dijual ke pasaran antarabangsa” katanya.

“Keuntungan yang diperolehi koperasi akan dipulangkan kepada pekebun kecil selaku ahli koperasi menerusi pembayaran dividen lebih tinggi” ujar beliau dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Golongan Asnaf dan Pekebun Kecil B40 di Felcra Kampung Kok di sini pada malam tadi.