PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum tentang langkah drastik diambil oleh pentadbiran Donald Trump semalam yang sekali lagi menyekat kemasukan minyak sawit negara ke pasaran Amerika Syarikat (AS) tanpa merujuk kepada Kerajaan Malaysia kesahihan dakwaan penggunaan buruh paksa dalam industri terbabit.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, insiden ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan Kerajaan kerana tindakan serupa pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Bhd (FGV) atas dakwaan yang sama dan telah disangkal oleh syarikat berkenaan. 

Menurut beliau, Ia tidak memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan dan operasi syarikat itu malah, Kerajaan AS telah mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas FGV.

Dalam isu terbaru yang melibatkan satu lagi syarikat iaitu Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin mereka juga akan membantah dan menolak dakwaan tidak berasas tersebut.

KPPK berpandangan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) sememangnya berhak untuk mengeluarkan WRO ke atas eksport minyak sawit oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

Walau bagaimanapun, KPPK tidak bersetuju dengan tindakan drastik yang dibuat oleh AS tanpa memberi peluang terlebih dahulu kepada syarikat untuk membuktikan bahawa dakwaan yang dilemparkan mungkin tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata, KPPK mengakui bahawa pernah berlaku isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara, namun begitu, kes terbabit amat terpencil berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan pada tahun 2018.

“Hasil kajian ini juga telah dipanjangkan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu. Berdasarkan kajian tersebut juga, Kerajaan sentiasa memberi peringatan kepada pihak industri supaya lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh menjejaskan ekonomi negara ini.

“Bagaimanapun Kerajaan Malaysia melalui KPPK komited sekiranya tuduhan yang dibuat oleh pihak AS ini adalah benar, tindakan sewajarnya dan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa ini.” ujar beliau dalam satu kenyataan media pada hari ini.