PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik usaha untuk memperluaskan industri sawit ke peringkat global dalam kaedah norma baharu. Menterinya Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kesan daripada wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia hari ini memerlukan pemain industri sawit untuk berfikir di luar kotak dalam mempertingkatkan kebolehupayaan pasaran sawit di peringkat antarabangsa.

“Norma lama tidak lagi relevan untuk dilaksanakan dalam pasaran sawit hari ini dan kaedah baharu perlu dilaksanakan bagi menjalankan perniagaan serta meningkatkan ekonomi khususnya dalam sektor komoditi”. Beliau turut menyatakan bahawa industri kelapa sawit telah memberi sumbangan yang begitu besar bukan sahaja dari aspek pendapatan eksport, malah turut menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan khususnya buat pekebun dan petani kecil.

Pada tahun 2019, nilai eksport sawit dan produk sawit negara telah mencatatkan sebanyak RM 67.5 bilion. Manakala pada tahun 2020, jumlah eksport telah meningkat melepasi RM 70 bilion walaupun ekonomi dunia mengalami kejatuhan akibat Covid-19.

“Dalam usaha meningkatkan kualiti dan kelestarian minyak sawit negara, Kementerian telah mewajibkan pekebun, pengusaha dan kilang pemprosesan minyak sawit untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MPSO) bagi memastikan minyak sawit negara dapat bersaing di peringkat antarabangsa”.

Beliau menyatakan demikian dalam sesi ucaptama persidangan Malaysian Palm Oil Trade Fair & Seminar Digital 2021 (POTS Digital 2021) yang diadakan secara maya pada hari ini. Persidangan yang dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan berlangsung dari 5 hingga 7 haribulan Januari ini dengan menampilkan 15 orang tetamu daripada pelbagai bidang dari dalam dan luar negara bagi membincangkan isu yang berkaitan dengan tema “Malaysian Palm Oil – Forging Ahead in The New Norm”. Persidangan ini turut diisi dengan sesi soal jawab secara langsung dengan tetamu jemputan serta pameran teknologi terkini industri sawit secara dalam maya