Putrajaya – Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk Januari 2021 telah diaktifkan di semenanjung, Sabah dan Sarawak, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Pengaktifan IPG dibuat berikutan rata-rata harga getah sekerap pada bulan Januari 2021 berada pada paras bawah RM 2.50 per kg dengan harga RM2.45 per kg di semenanjung, RM2.15 per kg di Sabah dan RM2.25 per kg di Sarawak.

“IPG aktif untuk Januari 2021 dengan pembayaran di semenanjung lima sen per kg, 35 sen per kg di Sabah dan 25 sen per kg di Sarawak,” kata LGM dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula dari Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan getah gred standard atau Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) adalah pada harga RM6.10 per kg atau harga ladang adalah RM2.50 per kg ke bawah.

“Pekebun kecil boleh membuat tuntutan mereka hingga akhir bulan ini,”.

Pengaktifan IPG yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertujuan untuk membantu pekebun kecil getah di negara ini, termasuk di Sabah dan Sarawak, ketika harga komoditi rendah.