MELAKA- Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan untuk meningkatkan penanaman kenaf di Melaka tahun ini menjadi 20 hektar berbanding 9.7 hektar tahun lalu.

Insentif ini akan dilaksanakan melalui skim Pekebun Kecil Bioretting yang menawarkan insentif tanaman sebanyak RM2,385 sehektar.

Di bawah skim ini, penanam yang mengusahakan ladang secara individu dapat mengusahakan kenaf di kawasan tanah seluas 5 hektar dan jika diusahakan secara kumpulan, kawasan tanah seluas 10 hektar dan lebih.

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan, tanaman kenaf mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat bulan dan berpotensi menyumbang tambahan pendapatan kepada pengusaha kenaf sehingga RM4,000 semusim.

Beliau turut berkata LKTN bertanggungjawab merancang, mengendalikan, menyelaras termasuk memantau aktiviti penyelidikan serta pembangunan berkaitan penanaman, pengekstrakan, pemprosesan dan pemasaran serta keluaran kenaf.

Aktiviti penanaman kenaf dimulakan di Melaka secara kecil-kecilan pada tahun 2010 dan projek perintis pertama di negeri ini dilaksanakan pada tahun 2019 yang melibatkan 13 hektar tanah yang menghasilkan pengeluaran 98.461 tan dari 9.2 hektar tanah, berjumlah RM49,230.50.