Malaysia sedia berbincang dengan Indonesia untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mohd Khairuddin turut berkata, Malaysia juga terus bekerjasama dengan Indonesia bagi menentang aspek diskriminasi ke atas minyak sawit sama ada secara dua hala mahupun hubungan pelbagai pihak.

Ini adalah selaras dengan gesaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerangka Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) diperkasakan untuk melindungi kepentingan bersama negara ahli terutama Malaysia dan Indonesia.

CPOPC ditubuhkan bersama Malaysia dan Indonesia pada 21 November 2015 bagi memperjuangkan isu berkaitan industri sawit.

Beliau juga akan berbincang dengan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto untuk merangka strategi terbaik bagi melindungi industri sawit kedua-dua negara dalam masa terdekat.

Malaysia dan Indonesia yang masing-masing negara pengeluar pertama dan kedua terbesar komoditi itu di dunia juga sentiasa berusaha mencari kesepakatan dalam membangunkan serta memelihara industri sawit kedua-dua negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian menyambut baik gesaan Perdana Menteri dalam pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Jakarta pada Jumaat lalu untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara bagi menentang diskriminasi minyak sawit oleh negara Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain.

Pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia menzahirkan kebimbangan mengenai kempen antiminyak sawit yang tidak berasas, tidak menggambarkan kemapanan industri minyak sawit sebenar serta kelestarian alam sekitar yang tetap dipulihara serta bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).