Industri minyak sawit tempatan menempa rekod positif apabila berjaya menjana pendapatan RM72.8 bilion melalui eksport minyak sawit dan pelbagai produk ke pasaran antarabangsa pada tahun 2020.

Peningkatan itu ujar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, mampu dicapai ketika ekonomi dunia ‘bergelut’ pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, angka yang direkodkan pada 2020 itu jauh lebih tinggi kira-kira 14 peratus berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan sepanjang 2019.

“Ia juga tertinggi selepas kali terakhir perolehan eksport industri ini melonjak pada 2017 dengan meraih RM77.9 bilion” ujar beliau.

Status industri sawit tempatan terus kekal sebagai satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 18 tahun kebelakangan ini. Kejayaan yang direkodkan pada 2020 secara tidak langsung membuktikan bahawa industri minyak sawit amat penting bagi negara.

Rakyat juga ujar beliau, perlu berbangga kerana komoditi itu turut memainkan peranan penting dalam menangani situasi wabak Covid-19 yang dialami dunia pada ketika ini.

Ini dapat dilihat menerusi penggunaan produk kesihatan berasaskan sawit seperti sabun dan pencuci kuman yang telah membuka peluang perniagaan bagi para pengusaha farmaseutikal.

“Daripada akar hingga ke pucuk, batang kepada pelepah dan daun selain isi buah serta sabut, semuanya memberi manfaat kepada bukan sahaja manusia malah haiwan,” katanya lagi.