Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan seramai 300,000 orang pekerja asing dalam sektor peladangan dan komoditi di negara ini bakal mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma melalui program pemberian vaksin kepada warganegara asing.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sektor komoditi merupakan antara segmen ekonomi negara yang mempunyai paling ramai tenaga asing.
“Sebahagian besar daripada warga asing yang bekerja di sektor komoditi berada di segmen peladangan kelapa sawit iaitu lebih 250,000 orang”.

“Pada tahun 2020, sektor komoditi telah memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara terutamanya dalam sektor kelapa sawit yang berjaya menjana RM72.8 bilion melalui eksport” ujar beliau.

Terdahulu, Kerajaan Malaysia bersetuju untuk memberikan vaksin secara percuma kepada warga asing yang menetap di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan melalui tiga fasa, bermula hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma. Program ini juga bagi memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.