Kementerian menggalakkan pembinaan rumah mampu milik menggunakan core kenaf dengan anggaran kos RM55,000 dengan keluasan 660 kaki persegi.

Ini dijelaskan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sewaktu lawatan ke pusat pemprosesan fiber kenaf di Gual Mesa, Rantau Panjang, Kelantan.

Menurut beliau, Industrialised Buiding System (IBS) Kenaf bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembinaan malah ia turut menjimatkan tenaga kerja, masa dan logistik.

“Tempoh pembinaan rumah itu hanya mengambil masa selama sebulan dan kos pembinaan rumah yang murah” ujar beliau.

IBS merupakan inovasi baharu dalam sektor pembinaan dan teknologi berasaskan kenaf sedang giat dikembangkan di Malaysia. Bagi pembinaan sebuah rumah IBS berasaskan kenaf dengan keluasan 660 kaki persegi, sebanyak lima tan core kenaf digunakan.

Jumlah ini bersamaan dengan jumlah core bersih yang dihasilkan bagi satu hektar tanaman kenaf. Kementerian melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus meningkatkan kebolehpasaran produk kenaf dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran disamping menggalakkan lagi pengusaha untuk meneroka sektor penanaman kenaf.

Bagi mengiatkan lagi industri pembinaan berasaskan kenaf, KTN turut bercadang memperluaskan kawasan tanaman kenaf di Rantau Panjang daripada 200 hektar sekarang kepada 500 hektar bermula tahun 2021.

“Anggaran pendapatan kenaf yang diperolehi oleh pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kenaf ialah RM 5,000 sehektar bagi tanaman semusim dengan unjuran hasil sehektar ialah 10 tan batang kenaf kering,” ujar beliau lagi.