Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus berusaha bagi memastikan industri perkayuan kekal kompetitif di pasaran global dan domestik.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Kementerian menyasarkan nilai eksport kayu dan produk perkayuan pada tahun ini akan meningkat kepada RM23 bilion berbanding RM22.02 bilion yang dicatatkan pada tahun 2020.

“Kementerian yakin prestasi eksport mampu mencapai RM23 bilion pada 2021 terutama dengan adanya vaksin yang dijangkakan dapat meredakan pandemik COVID-19” ujar beliau.

“Dengan pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di Amerika Syarikat (AS) dan China serta kadar permintaan dari negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang 2021”.

Mohd Khairuddin turut berkata, prestasi eksport sektor perkayuan masih mencatatkan pencapaian yang baik pada 2020 meskipun berdepan pandemik COVID-19 dengan nilai eksport berjumlah RM22.02 bilion, dua peratus lebih rendah berbanding RM22.5 bilion pada 2019.

“Prestasi berkenaan menunjukkan fasa pemulihan positif jika dibandingkan dengan industri lain yang mencatatkan penurunan sangat ketara akibat cabaran bekalan bahan mentah dan permintaan pasaran kesan pandemik COVID-19” tambah beliau lagi.

Nilai eksport perkayuan telah mengalami peningkatan secara bulanan bermula pada bulan Mei hingga Disember 2020 iaitu semasa fasa pemulihan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada Mac 2020 .
Syarikat pengeluar produk kayu terutamanya perabot kayu, tanggam, papan lapis dan kayu kumai kembali rancak beroperasi untuk memenuhi tempahan pasaran eksport.

Pasaran utama bagi sektor perkayuan yang menunjukkan peningkatan ialah AS dan China, dengan kedua-dua pasaran itu menyumbang sebanyak 44 peratus dari eksport keseluruhan Malaysia.

AS mencatatkan peningkatan sebanyak 50 peratus kepada RM7.4 bilion berbanding RM5 bilion pada 2019 dan China pula mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.8 bilion tempoh yang sama pada 2019.