KUALA TERENGGANU: Tanah terbiar di kawasan Parlimen Kuala Nerus akan dimanfaatkan bagi penanaman komoditi yang bersesuaian.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bercadang untuk membangunkan tanah terbiar di kawasan tersebut bagi meningkatkan lagi sektor komoditi negara disamping membantu pengusaha untuk meraih pendapatan hasil daripada tanaman yang dibangunkan.

Antara tanaman komoditi yang berpotensi untuk dibangunkan adalah seperti kenaf dan lada hitam. Penanaman kenaf dijangka mampu meraih pendapatan RM5,000 semusim bagi tanah seluas satu hektar.

Kenaf mendapat permintaan yang tinggi dalam sektor pembinaan yang menggunakan teknologi Industrialised Buiding System (IBS) dan turut digunakan bagi penghasilan tilam.

Penanaman lada hitam turut menjadi pilihan untuk diusahakan di kawasan tanah terbiar kerana hasilnya yang luas dan bukan sahaja sebagai rempah ratus dalam masakan, tetapi turut diguna dalam sektor lain antaranya farmasi untuk ubat-ubatan dan sebagainya.

Harga pasaran semasa lada kini adalah antara RM10 sekilogram bagi lada hitam dan RM17 sekilogram bagi lada putih.

Perbincangan tersebut diwakili oleh Setiausaha Politik kepada Menteri, Encik Mohd Kamal Nazmi bin Kamaruddin dan Pegawai Tugas-Tugas Khas, Encik Mohd Zamani bin Ismail bersama pegawai daripada Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (LTKN) Negeri Terengganu.