PUTRAJAYA: Lembaga Lada Malaysia (MPB) menawarkan Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang kepada pekebun-pekebun kecil lada di seluruh Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan bahawa skim yang disediakan oleh MPB ini mampu meningkatkan sumber pendapatan pekebun kecil dalam sektor lada berikutan trend peningkatan harga komoditi tersebut dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Pemberian skim tersebut juga dijangka akan menarik minat orang ramai khususnya pekebun-pekebun kecil untuk bergiat dalam sektor penanaman lada”.

Menurut beliau lagi, harga semasa lada kini adalah antara RM10.10 sekilogram bagi lada hitam dan RM17.40 sekilogram (lada putih).

“Kita percaya harga ini akan menjadi semakin baik dan meningkat apabila lebih banyak penanaman diusahakan untuk menampung permintaan tinggi bagi pasaran tempatan dan antarabangsa”.

“Ini kerana lada bukan hanya boleh digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan, tetapi turut diguna dalam sektor lain antaranya farmasi untuk ubat-ubatan dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Skim yang disediakan ini boleh dimohon melalui pejabat MPB yang berhampiran dengan segera.