PUTRAJAYA: Sektor sawit Malaysia menjana sekitar RM72.8 bilion melalui eksport minyak serta produk berasaskannya ke pasaran antarabangsa pada 2020, jelas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Angka eksport itu melonjak jauh lebih tinggi kira-kira 14.18 peratus berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019 dan tertinggi sejak 2017 iaitu RM77.9 bilion”.

Industri sawit yang merupakan salah satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama hampir 18 tahun kebelakangan ini berjaya membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara membangun seperti Malaysia.

Kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan pada awal Februari lalu merupakan salah satu inisiatif kementerian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat awam bagi menghargai sumbangan industri minyak sawit kepada pertumbuhan negara, baik dari segi sosial mahu pun ekonomi.

“Kempen ini juga akan menjadi satu platform utama untuk menggalakkan pengeluaran minyak sawit lestari dalam kalangan pekebun kecil agar mampu menjana sumber pendapatan yang lebih tinggi”.

Bagi merancakkan lagi sektor sawit negara, kerajaan turut menggalakkan warga tempatan, terutama belia untuk melibatkan diri dalam pembangunan industri komoditi penting negara.

“Selain berusaha meningkatkan saiz pekebun kecil bagi sektor perladangan, kerajaan juga dalam proses meneliti kaedah sesuai untuk meningkatkan jumlah penglibatan dalam sektor hiliran dan huluan bagi menjayakan hasrat Kementerian khususnya dalam memperkasakan industri komoditi negara” ujar beliau lagi.