PUTRAJAYA: Golongan belia khususnya boleh merebut peluang untuk bekerja dalam sektor agrikomoditi menerusi Karnival Kerjaya Agrikomoditi 2021 yang akan berlangsung pada 9 hingga 10 Mac 20221.

Sebanyak 1,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan untuk diisi dalam sektor perladangan dan komoditi bagi merancakkan lagi ekonomi negara terutamanya dalam industri komoditi.

Karnival yang akan berlangsung itu merupakan antara usaha bagi menarik lebih ramai rakyat negara ini bekerja dalam sektor perladangan yang menjanjikan pendapatan baik disamping membantu usaha kerajaan dalam menangani isu pengangguran di negara ini.

Karnival kerjaya ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dibawah agensinya iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Terdahulu, Menteri KPPK, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan bahawa kementerian akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan orang asli bekerja dalam sektor ini.

“Kementerian akan terus bergerak ke arah memberi keutamaan kepada rakyat tempatan bekerja dalam sektor perladangan dan komoditi selain memperkasakan modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia,” katanya.

Beliau akan merasmikan karnival kerjaya tersebut bersama Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia pada jam 9 pagi (esok). Majlis perasmian boleh ditonton secara langsung menerusi: https://bit.ly/3rguSgY.

Karnival ini juga turut menyasarkan sebanyak 3,000 penyertaan rakyat Malaysia dalam kalangan belia, graduan dan serta komuniti Orang Asli bagi merebut peluang pekerjaan dalam sektor agrikomoditi.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.