KUALA LUMPUR – Dua pekerja kontraktor maut, seorang lagi tersangkut dan seorang pemandu kereta cedera parah dalam insiden struktur besi ‘kren launcher’ pembinaan lebuh raya terjatuh di Persiaran Alam Damai Cheras di sini pada Selasa.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.45 pagi.

“Sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Tun Razak dan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati struktur besi ‘kren kauncher’ pembinaan lebuhraya telah jatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta Bezza.

“Kejadian melibatkan empat mangsa, pemandu kereta cedera parah kerana keretanya dihempap ‘kren launcher’,” katanya.

Katanya, manakala tiga mangsa lagi merupakan pekerja projek pembinaan tersebut dipercayai dua orang telah terjatuh dan telah disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya dan kerja-kerja menyelamatkan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba,” katanya.

Kejadian ini merupakan kes kedua dalam tempoh sebulan.

Pada 3 Mac berlaku runtuhan di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melibatkan sebuah lori trailer yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan SUKE di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) petang Rabu.

Dalam kejadian itu dua maut dan tiga cedera.

Sumber: Sinar Harian