KUALA KRAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan 20 koperasi getah ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan, KPPK melalui Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (TARGET) mensasarkan penubuhan koperasi bagi penghasilan getah krip berbanding getah sekerap kerana permintaan yang tinggi di pasaran.

“Kaedah ini membolehkan koperasi membeli getah sekerap pekebun pada harga lebih tinggi kerana Perbadanan Lembaga Getah Malaysia (LGMPC) kemudiannya akan membeli getah krip terbabit seterusnya menjual ke pasaran antarabangsa” katanya.

Kementerian juga akan menyumbangkan sebuah mesin memproses getah krip yang bernilai RM300,000 kepada koperasi berdaftar bagi menghasilkan getah daripada getah skrap yang berkualit. Kaedah ini dapat meningkatkan pengeluaran getah dan secara tidak langsung mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

Dr Khairuddin juga menjelaskan kementerian akan menyalurkan bantuan dengan memberi dana pusingan sebanyak RM140,000 untuk membeli getah daripada koperasi pekebun kecil getah dengan nilai yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Sehingga hari ini terdapat beberapa koperasi yang telah ditubuhkan antaranya di Larut, Perak dan beberapa negeri lain. Koperasi ini akan dikawal selia oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi memastikan pelaksanaannya mencapai sasaran oleh pihak KPPK” kata beliau dalam sidang media baru-baru ini.

Pada tahun 2020, industri getah telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sebanyak RM48.54 bilion, iaitu meningkat RM17.6 bilion atau 57 peratus lebih tinggi berbanding RM30.92 bilion pada tahun 2019.