PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) berkaitan sektor komoditi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lepas mampu mencapai sasaran eksport sawit negara bernilai RM 75 bilion pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tambahan sebanyak RM 20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) untuk pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dijangka dapat mempertingkatkan pengeluaran sawit negara.

“Peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta melalui inisiatif kesembilan PEMERKASA, Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi” jelas beliau.

Terdahulu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta bagi menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang dalam Belanjawan 2021.

Tambahan pula, Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) turut diperluaskan kepada koperasi dan akan memberikan manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi.

“Insentif ini akan mengembangkan lagi aktiviti perniagaan mereka khususnya kepada KPSM melalui platform digital dalam memperkasakan sektor sawit negara” ujar beliau lagi dalam satu kenyataan media.

KPPK sebelum ini menyasarkan eksport minyak sawit serta produk berasaskan minyak sawit kepada RM75 bilion berbanding RM73.3 bilion pada 2020 berikutan jangkaan permintaan tinggi ekoran ekonomi yang semakin pulih serta peningkatan harga Minyak Sawit Mentah (MSM) yang melonjak pada paras tertinggi sejak 13 tahun lalu dengan harga RM 4,247.50 per tan.