PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjelaskan tiada keperluan untuk mengaktifkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada bulan ini susulan daripada harga purata getah sekerap yang telah mencatatkan kenaikan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga purata untuk bulan ini mencapai RM3 untuk sekilogram, malah boleh terjual sehingga RM3.40 dan RM3.50 untuk sekilogram.

“Walaupun cuaca panas memberi kesan kepada hasil pengeluaran getah namun ada dalam kalangan pembeli yang membeli pada harga lebih tinggi daripada pasaran” ujar beliau lagi.

IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan SMR20 (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang (farmgate) berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.

Pada bulan Februari 2021, harga purata peringkat ladang bagi cuplump (50% Kandungan Getah Kering) bagi Semenanjung adalah RM 2.60 sekilogram manakala Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak RM 2.35 dan RM 2.40 sekilogram.

Oleh itu, IPG pada bulan Februari lalu bagi Sabah dan Sarawak telah diaktifkan masing-masing kepada RM0.15 dan RM0.10 sekilogram.