PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memberi bantuan kepada 474,000 penoreh getah di negara bagi mengatasi masalah penyakit luruh daun (pestalotiopsis) yang menyerang tanaman mereka ketika ini.

Menteri KPPK, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bentuk bantuan yang akan diberikan ialah semburan untuk merawat kulat yang menjangkiti daun, dahan, tangkai dan buah pokok getah.

“Penyakit berkenaan boleh mendatangkan kerugian besar terutama kepada penoreh-penoreh kecil sekiranya tidak dirawat dengan baik”.

“Jika pekebun kecil tidak bertindak segera, pendapatan mereka mungkin terjejas kerana pengeluaran susu getah akan susut sebanyak 40 hingga 60 peratus akibat daripada penyakit ini”.

Pihak kementerian telah membuat permohonan peruntukan sebanyak RM10 juta daripada Kementerian Kewangan (MoF) bagi tujuan tersebut.

“Kita sudah mengkaji cara mengawal penyakit kulat yang bermula di Indonesia ini dan akan turun padang untuk melihat sendiri proses rawatan tersebut”.

Antara faktor penyakit ini mudah merebak adalah disebabkan oleh taburan hujan dan kelembapan udara yang tinggi, tiada amalan pembajaan berjadual dan pengawalan rumpai tidak teratur.

Melalui sebuah kenyataan bersama oleh Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC), sebanyak 382,000 hektar tanaman telah terkesan oleh jangkitan pestalotiopsis di mana 2,135 hektar terkesan di Semenanjung Malaysia dengan kerosakan daun di antara 50 dan 90 peratus.