PAGOH: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh bagi tempoh tempoh lima tahun iaitu bermula pada tahun ini sehingga 2025.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penghasilan inovasi baharu daripada produk buluh berasaskan serat (fiber) oleh para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.

“Sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji oleh pihak Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dalam penentuan keboleh pemprosesan serat daripadanya. Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar” jelas beliau.

Oleh itu, pihak KPPK bersetuju meluluskan sektor buluh sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas.

Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan.

Dr Khairuddin menjelaskan, melalui rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bersama pihak UTHM seluas hampir 1 hektar, ianya mampu menghasilakan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan, geotextile dan produk tekstil.

Penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah (crude fiber).

“Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini” jelas beliau lagi dalam Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh di Pagoh hari ini.

KPPK dan agensi-agensi di bawah kementerian akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan pihak universiti untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai.