KUALA LUMPUR: Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan melaksanakan projek rintis bagi memperkasakan pembangunan industri komoditi negara dengan mewujudkan Perkampungan Koko di Lipis pada tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu melibatkan pembangunan kawasan seluas 77 hektar termasuk 17 hektar tanah yang telah ditanam dengan koko di Senderut Lipis.

“Dalam merealisasikan hasrat ini LKM telah memilih 143 petani daripada kira-kira 5,000 penduduk di lebih lapan buah kampung tradisi di kawasan tersebut untuk terlibat dalam projek yang akan menjana sumber pendapatan kepada mereka”.

“Perkampungan koko ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan infrastuktur untuk kemudahan peserta yang turut akan menjadikannya satu destinasi pelancongan pertanian baharu” katanya lagi dalam Bicara Naratif di RTM.

Dr Khairuddin turut menjelaskan bahawa pihak kementerian juga akan membangunkan lima lagi Perkampungan Koko di seluruh negara selain di Lipis bagi mengembalikan semula kegemilangan penanaman koko.

Misi kementerian di bawah agensi LKM adalah memperkasakan petani koko sedia ada disamping melahirkan kebih ramai petani baharu yang menjadikan komodoti itu sebagai sumber pendapatan utama.

Selain itu, beliau memberitahu pihak LKM juga akan berusaha membuka ladang-ladang koko berskala besar dari semasa ke semasa berikutan permintaan tinggi koko mentah di pasaran tempatan.

“Pada masa sama LKM juga akan terus berusaha melahirkan lebih banyak usahawan koko yang dapat menghasilkan pelbagai produk coklat berbanding hanya 200 orang usahawan koko setakat ini,”katanya.

Terkini, keluasan tanaman koko di Malaysia ialah kira-kira 5,018 hektar dan membabitkan seramai 5,046 petani di seluruh negara. Keluaran komoditi koko yang diredodkan pada 2020 ialah sebanyak 706 tan metrik dengan nilai komersial kira-kira RM5 juta.