PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memperuntukkan sebanyak RM2.67 juta tahun ini bagi membantu lebih 4,000 pekebun koko di seluruh negara.

Menteri KPPK, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Lembaga Koko Malayasia (LKM) telah mula mengagihkan peruntukan itu sejak awal tahun ini dalam bentuk peralatan, pengurusan di kebun, baja koko dan lain-lain dalam usaha membantu pekebun terutamanya pekebun kecil dan sederhana.

“Dalam usaha mempertingkatkan sektor koko negara, LKM telah mengadakan kempen besar-besaran dalam memberi galakan kepada para pekebun untuk terus menanam pokok koko bagi membuktikan tanaman ini merupakan salah satu sektor komoditi yang sangat kompetitif di pasaran selain kelapa sawit dan getah” ujar beliau.

Dr Khairuddin juga turut berkata bahawa industri tanaman komoditi itu mampu menjamin sumber pendapatan pekebun kerana harga koko stabil meskipun bersaing dengan tanaman lain dan mempunyai permintaan pasaran eksport yang memberangsangkan terutamanya di peringkat antarabangsa khususnya dari Eropah.

Pada tahun lepas, jumlah eksport koko ke Eropah adalah sebanyak 700,000 tan dan pada tahun ini kementerian mensasarkan peningkatan jumlah itu bagi memastikan negara menjadi salah sebuah negara pengeksport koko terbesar di dunia.

LKM juga akan melaksanakan projek rintis bagi memperkasakan pembangunan industri komoditi negara dengan mewujudkan Perkampungan Koko di Lipis pada tahun ini. Projek yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat itu melibatkan pembangunan kawasan seluas 77 hektar termasuk 17 hektar tanah yang telah ditanam dengan koko di Senderut Lipis.

“Selain di Lipis, kementerian juga akan membangunkan lima lagi Perkampungan Koko di seluruh negara bagi mengembalikan semula kegemilangan penanaman koko” katanya lagi dalam sidang media baru-baru ini.