MELAKA: Golongan belia dan mahasiswa lepasan universiti berpeluang menjadi usahawan coklat dalam usaha menjadikan Malaysia terkenal sebagai ‘King Of Chocolate’ serta merancakkan sektor koko negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kementeriannya turut menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 1,000 usahawan coklat buatan tangan dalam tempoh lima tahun.

Dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12), Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko telah diperuntukkan sebanyak RM10 juta.

“Peruntukan ini merangkumi skop pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, yang dijangka dapat membantu meningkatkan pasaran industri koko dan coklat negara, sekali gus meningkatkan jumlah eksport coklat negara,”katanya.

Selain itu, KPPK turut menyasarkan nilai eksport coklat negara meningkat dua kali ganda mencecah RM2 bilion pada tahun ini. Nilai kekal relevan selepas melihat kejayaan industri itu mencapai nilai eksport sebanyak RM1 bilion pada tahun lalu meskipun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Hotel LaCrista Melaka di Jalan Hang Tuah baru-baru ini.

Pada RMK-11 terdahulu, sebanyak 232 usahawan coklat buatan tangan telah diwujudkan dan berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia dan pada tahun lepas sahaja jumlah pendapatan usahawan berkenaan mencecah RM5.81 juta.