Sekatan import minyak kelapa sawit oleh Sri Lanka tidak akan menjejaskan industri komoditi negara kerana pasaran eksport telah diperluaskan sehingga ke Afrika dan Asia Barat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kepercayaan negara-negara lain terhadap kualiti minyak kelapa sawit Malaysia susulan pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang bertujuan meningkatkan profil tanaman itu di pasaran global.

Beliau berkata, selain meningkatkan eksport untuk pasaran Arab Saudi, kini, negara turut menerima permintaan tinggi minyak berkenaan dari Filipina dan Vietnam.

“Walaupun Sri Lanka melakukan sekatan, namun, ia tidak akan menjejaskan industri komoditi negara ini kerana masih banyak lagi negara yang mahukan minyak kelapa sawit Malaysia kerana kualiti tinggi bahan mentah kita,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa semalam melaporkan, Sri Lanka menyekat import minyak sawit daripada Malaysia dan Indonesia, selain menghalang pembukaan ladang sawit baharu.

Tambah Dr Khairuddin, dakwaan itu juga sama sekali tidak berasas, memandangkan negara turut menubuhkan Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) sebagai usaha untuk menangani kempen anti-minyak kelapa sawit.

Jelasnya, perkara itu juga akan dibawa ke peringkat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk membantah tindakan beberapa negara termasuk Eropah.

“Kita akan melakukan kempen secara besar-besaran menyatakan bahawa minyak sawit kita adalah yang terbaik. Minyak sawit kita juga telah mencapai 90 peratus pensijilan MSPO disamping memperluaskan eksport komoditi tersebut ke negara-negara lain” ujarnya.

Terdahulu, Malaysia akan meningkatkan eksport minyak sawit ke Arab Saudi kepada 500,000 tan yang dianggarkan bernilai RM1 billion susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke negra itu dan Jepun juga telah mengimport hampir 500,000 tan minyak sawit Malaysia pada 2020 sehingga Februari tahun ini.