KUALA TERENGGANU: Gaji yang ditawarkan dalam bidang penuaian kelapa sawit hampir mencecah RM 3,000 sebulan serta kemudahan lain yang turut disediakan oleh majikan kepada pekerja.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Silap faham berhubung tangga gaji yang ditawarkan dalam bidang penuaian ladang kelapa sawit menyebabkan golongan muda tidak berminat menyertai sektor berkenaan.

“Masih terdapat ramai yang beranggapan bahawa gaji yang ditawarkan untuk pekerja dalam bidang penuaian hasil kelapa sawit rendah dan tidak berbaloi. Kesanya telah menyebabkan banyak syarikat ladang kelapa sawit terkemuka mengalami masalah tenaga kerja dan berharap kepada tenaga kerja asing” jelasnya

Sehingga kini terdapat 32,000 kekosongan sebagai penuai buah kelapa sawit untuk diisi oleh rakyat tempatan. Namun sambutan rakyat Malaysia untuk pekerjaan itu masih kurang memberangsangkan walau pun pihak kementerian sudah banyak melaksanakan karnival kerjaya dan iklan secara besar-besaran termasuk menerusi laman web JobsMalaysia,

“Sekiranya rakyat Malaysia masih tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan itu, kementerian terpaksa meneruskan permohonan syarikat perladangan untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing bagi memastikan kerja-kerja penuaian di ladang sawit tidak terjejas berikutan harga sawit yang melonjak tinggi ketika ini” ujar beliau dalam Program Malaysia Prihatin peringkat Parlimen Kuala Nerus.

Masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan terutama bahagian penuaian berlaku selepas ramai pekerja asing pulang ke negara asal ketika COVID-19 berlaku dan mereka gagal kembali semula ke Malaysia disebabkan sempadan negara masih ditutup.

Dalam masa yang sama beliau turut berharap agar golongan muda yang tidak mempunyai pekerjaan mengambil peluang yang disediakan itu. Bagi mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web kementerian, syarikat-syarikat perladangan negara atau melalui JobsMalaysia.