PUTRAJAYA: Afghanistan menyambut baik cadangan untuk mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia sekali gus mengembangkan eksport minyak sawit negara secara langsung ke Afghanistan kepada 150,000 tan setahun berbanding 75,000 tan setahun pada masa kini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kunjungan hormat daripada Duta Republik Islam Afghanistan ke Malaysia, Dr. Mohib Rahman Spingar pada 8 April lalu telah memberi impak positif bagi sektor sawit negara.

“Persefahaman itu sekali gus membuka lembaran baharu kepada sawit Malaysia untuk dipasarkan ke Asia Tengah dengan Afghanistan sebagai laluan pintu masuk atau ‘gerbang emas’ ke negara-negara lain di rantau berkenaan melibatkan Turkmenistan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan sehingga ke Kazakhstan” katanya.

Selain itu, Afghanistan juga bersetuju untuk dijadikan sebagai pintu masuk eksport agrikomoditi Malaysia yang lain iaitu seperti getah, lada, koko dan kayu-kayan ke negara-negara lain melalui Pelabuhan Chabahar di Iran.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut tidak lama lagi” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi.

Terdahulu, KPPK telah memperkenalkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mementingkan pertanian dan pengurusan yang baik, sekali gus menghasilkan produk yang berkualiti dan premium.