PORT DICKSON: Kerajaan yang wujud hari ini masih kukuh dan berjalan seperti biasa walaupun wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpinnya dari parti berbeza.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun hubungan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO sedikit masalah, ia tidak menjejaskan keputusan bersama dibuat kerajaan.

“Kerajaan tidak hadapi masalah walaupun ada sedikit perbezaan pendapat antara kerajaan dengan UMNO, namun persetujuan masih dicapai dan kerajaan masih kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Peringkat dalaman (kerajaan) tidak hadapi masalah dan kita bersama-sama mencari jalan menyelesaikan masalah akibat pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini,” katanya selepas Majlis Serahan Sumbangan Perabot Rumah untuk Golongan B40 di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustapha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar; Pengerusi Prihatin Port Dickson, Abdul Fatah Zakaria dan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Mohd Faizal Ramli.

Mengulas keadaan ekonomi negara ketika yang berdepan pandemik COVID-19, Mohd Khairuddin berkata, kerajaan sedang berusaha mengubat ‘penyakit’ ekonomi yang melanda dunia.

“Di peringkat kerajaan kita sedang merawat ‘sakit’ itu dengan ‘menyuntik’ bantuan kepada rakyat untuk bangkit semula termasuk kepada pihak industri,” katanya.

Sumber: Berita Harian