PETALING JAYA: Tawaran RM2000 yang dibuat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, seperti yang diiklankan di Facebook beliau tamat apabila maklumat tentang ‘Adik Mohamad’ berjaya diperolehi.

Menurut Dr Kamarul, ‘Adik Mohamad’ bukanlah seorang pekerja dengan gaji RM500 sebulan seperti didakwa Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven, Sim Chee Keong, di laman sosial beliau yang tular baru-baru ini.

“Kita dapati beliau (adik Mohamad) bukanlah bekerja tetapi dia hanyalah pelajar yang sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Bukit Mertajam.

“Jadi RM500 sebulan yang dia dapat itu bukanlah gaji bulanan tetapi elaun bulanan latihan industri,” ujar beliau.

Jelasnya lagi, ‘Adik Mohamad’ merupakan pelajar diploma (jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektonik) di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak.

Dr Kamarul mendakwa kenyataan Steven Sim tidak bertanggungjawab kerana memberikan maklumat yang tidak betul tentang rider tersebut.

“Dia seolah-olah menggunakan budak ini bagi menimbulkan rasa kesian pembaca dan menjadikan posting beliau (Steven Sim) viral setelah mendapat perkongsian ramai.

“Sepatutnya dia cakap direct lah, saya (Steven Sim) telah membantu seorang budak ini yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Bukit Mertajam.”

“Jangan cakap budak ini (‘Adik Mohamad’) merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang, kerja dengan gaji RM500…itu tidak betul,” katanya.

Tambahnya, beliau sedang menyiasat latar belakang keluarga ‘Adik Mohamad’ di Kelantan untuk memberi bantuan kepada mereka.

TAMBAHAN: Nama penuh ‘Adik Mohamad’ ini ialah ‘Anas Hazmi bin Ahmad’ dan beliau berasal dari Tanah Merah, Kelantan.Tindakan Steven Sim memperkenalkan ‘Anas Hazmi bin Ahmad’ sebagai ‘Adik Mohamad’, tanpa menyebut bahawa ‘Adik Mohamad’ adalah nama samaran, juga menimbulkan tanda tanya kerana nama ‘Mohamad’ atau ‘Muhammad’ adalah satu nama yang sensitif kepada umat Islam kerana ia merupakan nama Nabi.

Sumber: Dr Kamarul Yusoff – https://web.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/4253367328040626