KUALA LUMPUR: Sebuah artikel mengaitkan LGM Properties Corporation (LGMPC) dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC telah tular dilaman media sosial facebook. Artikel yang diterbitkan berbaur tuduhan, dakwaan, fitnah, tohmahan dan tidak berdasarkan pada fakta yang tepat dan berkaitan hal-hal sulit LGMPC. Pernyataan fitnah tersebut telah tersebar secara meluas melalui perkongsian orang ramai di media sosial, laman sesawang dan jaringan komunikasi.

LGMPC memandang serius pernyataan fitnah tersebut dan secara spesifik menafikan setiap pernyataan fitnah yang terkandung di dalam artikel yang diterbitkan. Dakwaan dalam artikel tersebut adalah secara terang-terangan berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan reputasi Yang Berhormat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, LGMPC dan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC.

LGMPC adalah Perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996, dimana segala aktiviti, pengurusan dan/atau transaksi melibatkan LGMPC adalah berpandukan kepada pematuhan Undang-Undang Malaysia dan secara spesifik berada di bawah pemantauan serta penyeliaan Lembaga Getah Malaysia. Justeru, tidak sewajarnya timbul isu berkaitan dakwaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa seperti yang dibangkitkan di dalam pernyataan fitnah tersebut.

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif LGMPC Ir. Hj. Ariffahmi Ab Rahman telah mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (LGM Properties Corporation) 2001 dan beliau mula bertugas mulai pada 25 Januari 2021. Kenyataan ini secara tidak langsung menyangkal pernyataan fitnah didalam artikel tersebut yang telah memetik peristiwa dalam rangka masa sebelum beliau memulakan perkhidmatan di LGMPC. Selama empat (4) bulan perkhidmatan, beliau telah berjaya merencana, menyusun semula dan melaksanakan strategi perniagaan baharu demi meningkatkan pendapatan LGMPC.

LGMPC menafikan sekeras-kerasnya tindakan penyebaran artikel yang mengandungi pernyataan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggesa orang ramai untuk tidak mempercayai fakta-fakta palsu yang disampaikan demi kepentingan peribadi atau alat mainan politik pihak-pihak tertentu.

Justeru itu, bagi mempertahankan imej dan reputasi LGMPC, menuntut pihak bertanggungjawab (admin Sedar Malaysia dan negaramerdeka.com) yang telah menyiarkan artikel pernyataan fitnah tersebut untuk menurunkan artikel yang dinyatakan dalam tempoh masa empat puluh lapan jam (48 jam) dari tarikh kenyataan media ini disiarkan serta tampil menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan disaluran media aliran perdana, media-media sosial dan laman sesawang terlibat. LGMPC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tuntutan-tuntutan LGMPC seperti tersebut di atas.