Kuala Lumpur: Pelakon filem Keluarga 69 arahan Tan Sri P Ramlee, Toh Puan Julie Faridah @ Joria Basir meninggal dunia akibat jangkitan virus di Hospital Pantai, Ipoh jam 1.37 pagi, semalam.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, perkara ini disahkan oleh anak Allahyarham yang juga bekas personaliti TV3, Aziah Jasmin Azizul.”Menurut Aziah, ibunya pergi dengan tenang di sisi ketiga-tiga anak selepas dua minggu dimasukkan ke hospital.”Jenazah dimandikan dan dikafankan di rumah di Jalan Watson Ipoh sebelum dibawa ke Perkarangan Masjid Datuk Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur suaminya sekitar jam 11 pagi.

“Aziah bersyukur kerana urusan pengebumian juga berjalan lancar. Mewakili keluarganya, dia sangat terharu kerana arwah ibu mereka diberi penghormatan untuk disemadikan di perkarangan masjid berkenaan,” katanya.

Julie membawakan watak Faridah menerusi filem yang diterbitkan pada 1967 ini. Allahyarham dilahirkan pada 25 November 1944 di Bentong, Pahang. Julie terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif di dalam dunia seni kerana mengikut arwah suami, Datuk Seri Azizul Hassan yang bertugas sebagai Pegawai Kanan Polis dan juga Orang Besar Jajahan Kinta.

Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.Julie juga berbesan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menerusi perkahwinan anak lelakinya, Mohammad Yaakob dengan puteri bongsu Raja Perlis iaitu Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fazira Syed Sirajuddin.

Disiarkan pada: Mei 31, 2021 @ 2:31pm

https://www.hmetro.com.my/rap/2021/05/712171/pelakon-julie-faridah-meninggal-dunia