FAMA membuka sebanyak 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dalam tempoh ‘total lockdown’ yang bermula Selasa. – Buletin TV3

PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka sebanyak 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dan dijangka beroperasi setiap hari.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, ia akan dibuka sepanjang 14 hari pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula pada 1 Jun ini.

“Ia terdiri daripada sejumlah 24 pasar tani kekal selain tiga premis MyFarm Outlet, dua buah Agrobazaar dan 14 Pusat Operasi Fama,” kata beliau menerusi kenyataan di sini hari ini.

Jumlah itu ujarnya bagaimanapun berkurangan dibandingkan sebanyak 63 PST yang pernah dibuka oleh pihak FAMA semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lepas.

Kesemua lokasi berkenaan jelasnya, dibuka bermula pukul 6 pagi sehingga 4 petang kecuali Pusat Operasi FAMA yang waktunya agak terhad daripada 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

PST tambah beliau, diwujudkan dengan objektif bagi memberi akses pilihan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan penawaran penjimatan harga hingga 20 peratus.

“Inisiatif ini juga sebagai ruang pasaran kepada usahawan tani bagi memasarkan produk ketika tempoh PKP 3.0 yang lebih ketat dengan sekatan pergerakan penuh,” terang Ronald.

Ia turut mengikut prosedur operasi standard ditetapkan dengan jarak gerai sejauh tiga meter, pintu masuk dan keluar dikawal selia dan bilangan pengunjung dihadkan pada satu masa.

Pengguna juga katanya, dinasihatkan membuat bayaran secara atas talian dan tanpa tunai sama ada QR Pay atau e-dompet supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19.

Operasi kali ini juga ujarnya, menawarkan pembelian atas talian dengan pesanan boleh dibuat sebelum PST dibuka menerusi wadah media sosial atau e-dagang untuk dihantar ke rumah.

“Kementerian menyeru usahawan yang ada masalah pemasaran hasil tani agar berhubung dengan FAMA berhampiran atau maklum balas melalui portal agensi ini,” kata Ronald lagi.- UTUSAN ONLINE