SHAH ALAM – Penjawat awam bakal menyumbangkan sebahagian daripada gaji mereka selama tiga bulan bagi menunjukkan solidariti dan sokongan terhadap usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di dalam negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, inisiatif tersebut akan melibatkan pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta penjawat awam bagi Gred 29 hingga Gred 41.

Katanya, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

“Sumbangan daripada lebih 800,000 penjawat awam tidak termasuk frontliners serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 adalah dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan menteri dan timbalan menteri dalam kabinetnya bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun ini sebagai tanda sokongan terhadap pembiayaan perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata, kadar sumbangan elaun ITK bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) A ke atas adalah sebanyak 50 peratus diikuti Jusa B (20 peratus), Jusa C (10 peratus) dan Gred 44 hingga 56 (lima peratus).

Menurutnya, kadar sumbangan elaun ITKA daripada penjawat awam Gred 29 hingga 41 pula adalah sebanyak RM10.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita.

“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” ujarnya. – Sinar Harian