KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan sasaran untuk membantu kira-kira 1,000 usahawan di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata S3P adalah kemudahan pembiayaan perniagaan yang disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro Bumiputera dalam pelbagai sektor kecuali pertanian dan penternakan.

Katanya, skim itu diperkenalkan melalui fokus kedua bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) iaitu memacu pemulihan ekonomi di bawah inisiatif keenam kemudahan mikro kredit.

“Peruntukan secara sekali beri diperuntukkan kepada MARA untuk melaksanakan kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui S3P.

“Ia bertujuan membantu 1,000 PKS mikro Bumiputera, terutama mereka yang terjejas akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk meneruskan kelangsungan perniagaan,” katanya selepas melancarkan S3P, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Azizah turut menyampaikan pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada 21 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) Bumiputera.

Sebanyak 12 IPTS Bumiputera menerima cek berjumlah RM10.6 juta dan sembilan penerima surat tawaran pembiayaan PENJANA IPTS, berjumlah RM15.7 juta.

Azizah berkata, skop kemudahan pembiayaan meliputi keperluan modal pusingan, pembelian peralatan, promosi dan pemasaran serta belanja mengurus.

Katanya, had pembiayaan maksimum adalah sehingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 72 bulan atau enam tahun tanpa cagaran dan penjamin.

“Justeru, saya menggalakkan lebih ramai usahawan mikro di luar sana untuk merebut peluang dengan memohon S3P bagi membangunkan perniagaan mereka.

“Permohonan hanya perlu dilakukan secara dalam talian melalui portal MyUsahawan yang boleh diakses melalui laman web rasmi MARA atau secara terus di aplikasi MyUsahawan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usahawan yang mendapat bantuan S3P kekal bertahan, MARA akan memantau perkembangan mereka setiap tiga bulan.

Sementara itu, Azizah berkata, hanya kira-kira RM1 juta peruntukan digunakan untuk Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (DanaNITA) sehingga kini berbanding dana keseluruhan RM25 juta yang ditawarkan MARA.

Beliau berkata, sebanyak 58 permohonan dalam skim DanaNITA diluluskan tahun ini sehingga Mac, khusus untuk membantu usahawan wanita.

Sehubungan itu, katanya, lebih ramai usahawan wanita digalakkan untuk membuat permohonan kerana dana yang diperuntukkan masih banyak.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/804469/mara-perkenal-skim-bantuan-usahawan-mikro