BEIJING: China melonggarkan dasar perancangan keluarganya dengan membenarkan setiap pasangan memiliki sehingga tiga anak selepas kaji selidik menunjukkan populasinya semakin menua dengan pantas, lapor agensi berita Xinhua hari ini.

Selama hampir 40 tahun, China melaksanakan dasar kontroversi ‘satu anak’, antara dasar perancangan keluarga paling ketat di dunia, yang ditarik semula pada 2016 susulan kebimbangan terhadap tenaga kerja yang semakin berusia serta ekonomi tidak berkembang.

“Sebagai tindak balas aktif terhadap populasi yang menua… setiap pasangan boleh memiliki tiga anak,” lapor Xinhua yang memetik mesyuarat jawatankuasa pemimpin elit China, Politburo hari ini, yang dihoskan oleh Presiden China, Xi Jinping.

Meskipun kerajaan negara itu berusaha menggalakkan kelahiran bayi, jumlah kelahiran tahunan China terus menurun kepada rekod terendah 12 juta pada 2020, berdasarkan laporan Biro Statistik Nasional bulan lalu.

Kadar kesuburan China kini adalah 1.3, iaitu di bawah tahap diperlukan untuk mengekalkan populasi yang stabil, lapor biro itu.

Hasil kaji selidik sekali dalam 10 tahun pada 2020 yang diterbitkan bulan lalu juga menunjukkan populasi China berkembang pada kadar paling perlahan sejak 1960-an, dengan mencecah 1.41 bilion.

Ia disusuli penurunan ketara jumlah individu dalam usia pekerjaan, sekali gus mencetus kebimbangan terhadap krisis demografik.

Keseimbangan jantina di China juga terjejas akibat dasar satu anak selama berpuluh tahun itu, di samping sikap masyarakat lebih mahukan anak lelaki, yang mencetus tindakan menggugurkan anak berdasarkan jantina serta pembuangan bayi perempuan. – AFP

https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/05/822789/china-benarkan-pasangan-miliki-sehingga-3-anak