Penghijrahan pelakon dan penyanyi jelita, Kilafairy yang kini berhijab menarik perhatian ramai pihak dan rata-rata mereka meluahkan rasa syukur serta mendoakan agar dirinya terus istiqamah.

Kongsi cerita penghijrahan

Berkongsi tentang perbezaan dirinya dahulu dan sekarang, pemilik nama Syakila Nisa Jahangir Khan itu kini lebih tertarik untuk mempelajari ilmu agama dan menjaga ibadah sebaiknya.

“Saya cuba untuk jaga amal ibadah dengan sebaiknya. Minat saya untuk dalami ilmu agama itu orang kata lebih bersemangat dan lebih tertarik untuk ikuti. 
“Sebelum ini, kalau tonton ceramah sikit je macam alihlah pada saluran lain, saya macam tak berapa berminat. Tapi sekarang bila saya ikuti sesi usrah anjuran rakan, Neelofa misalnya, buatkan saya lebih tertarik.
“Malah ada kawan lain yang umpamakan agama ini sama seperti telefon. Kalau kita tak cas, akan habis bateri. Jadi kita kena terus belajar,” jelasnya.

Tidak pernah menyesal dengan masa lalu

Mesra disapa Kila, bintang berusia 29 tahun itu berkata dia mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga untuk menjadi insan yang lebih baik.

Selain itu, pelakon drama Ajari Playboy Itu mengakui tidak pernah menyesal dengan perjalanan hidupnya di masa lalu. Dia menganggap sejarah lama sebagai pendorong untuk dirinya memperbaiki diri.

“Saya cuba untuk tanamkan ia di masa lalu. Kalau nak kata sama ada saya menyesal atau tidak… Sebenarnya kalau saya ada peluang untuk pakai tudung lebih awal, saya akan pakai. Tetapi jalan hidup saya seperti ini dan saya tidak menyesal,” luahnya lagi.

Terdahulu, imej seksi begitu sinonim dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy, 28. Bagaimanapun, tahun 2020 lalu menyaksikannya berubah dan menjaga penampilan diri setelah membuat keputusan untuk berhijab.